Isu Bahasa Baku
Bahasa baku ialah kelainan bahasa yang telah mengalami pengkanunan yang cukup banyak terhadap tatabahasa dan penggunaannya,walaupun kadangkala istilah tersebut merujuk keseluruhan suatu bahasa yang memasukkan bentuk terpiawai sebagai salah satu kelainanan. Perkataan “baku” sebenarnya berasal daripada perkataan Jawa yang bermaksud “yang (sudah) diterima umum sebagai betul. Sah dan dapat dijadikan asas perbandingan.” (Kamus Dewan).
Jadi, menggunakan bahasa baku mampu menterjemahkan komunikasi yang baik, betul dan berkesan. Ini disebabkan bahasa baku atau juga dikatakan bahasa standard yang sempurna dari aspek-aspek kebahasaannya seperti ejaan, tatabahasa, istilah, penggunaan kata, laras bahasa dan sebutan.Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu telah dilakukan sekian lama. Kerajaan Sriwijaya telah menggunakan bahasa Melayu semenjak abad ketujuh.Kerajaan Melaka pula telah mengangkat bahasa Melayu ke tahap kegemilangan pada abad ke-13 bersesuaian dengan statusnya sebagai pusat perdagangan serantau ketika itu.Perkembangan bahasa Melayu yang terjadi ketika itu seiring dengan perkembangan kebudayaan, pembaharuan material dan kerohanian yang mendukung konsep-konsep baharu dalam masyarakat.Di bawah Akta Pendidikan dan perlembagaan negara, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Sekolah dilihat sebagai tapak semaian terbaik untuk anak-anak ditaburi benih dan dibajai agar mencintai bahasa Melayu dari peringkat asas pendidikan.
Abdullah Hassan menyatakan bahasa Melayu tinggi menekankan dua aspek, iaitu peraturan bahasa dan peraturan tatabudaya. Aspek peraturan bahasa meliputi sebutan, ejaan, perkataan, ayat dan kerapian makna.Aspek peraturan tatabudaya pula merangkumi penggunaan kata ganti nama, sistem gelaran dan panggilan yang bersesuaian dengan taraf sosial orang yang berkomunikasi serta pemilihan kata sesuai dengan konteks.
Dalam kalangan budayawan, bahasa Melayu tinggi diterima sebagai bahasa yang mendukung budaya tinggi dan ditafsirkan sebagai cerminan intelektual dan pemikiran akademia penutur dan masyarakat sekeliling.Penggunaan bahasa Melayu tinggi menekankan kegramatisan berbahasa. Ini bermakna ayat-ayat yang digunakan adalah lengkap dari segi tatabahasa, subjek dan predikat, imbuhan dan tanda baca yang sempurna dan tepat, serta kata penerang pada tempat yang menunjukkan hubungan sintaktik yang betul.
Jika kita membuat tinjauan dan kajian dalam kehidupan seharian masyarakat, diburukkan lagi dengan keluwesan digital yang disalah gunakan.Muncul istilah-istilah yang mungkin selama ini kita tidak pernah dengari dan istilah-istilah ini bukan sahaja dituturkan oleh anak-anak di bangku persekolahan malahan dalam kalangan penutur dewasa juga.Bahasa itu pula dianggap lebih mesra, mudah tular dan mendekatkan masyarakat serta lebih mudah diterima sebagai budaya berbanding bahasa Melayu tinggi yang dianggap milik “orang-orang bahasa” sahaja.Bahasa Melayu sekadar dianggap sebagai bahasa mata pelajaran yang diajarkan di sekolah untuk murid-murid lulus peperiksaan dan mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata.Mengutarakan isu ini tidak akan ada penyelesaiannya dengan menuding jari ke arah mana-mana pihak. Setiap entiti mempunyai kekangan dan peranan tersendiri.
Kewujudan masyarakat berbilang kaum dan etnik di negara kita jika dipandang dari satu sudut merupakan satu perkara yang unik dan menjadi salah satu tarikan pelancong ke negara kita. Kepelbagaian budaya seperti penggunaan dialek, bahasa dan warisan kehidupan seharian menjadi identiti setempat yang harus dikekalkan.Memartabatkan bahasa Melayu tinggi tidak bermaksud menghapuskan keistimewaan dan keunikan lokal. Harus difikirkan apakah kaedah lebih sesuai untuk menjadikan bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa sohor kini yang diterima dan mampu mendekatkan masyarakat dalam konteks masyarakat majmuk di negara kita, sekurang-kurangnya dalam lingkungan premis persekolahan dan institusi pengajian sama ada awam mahupun swasta.
Isu-isu berkaitan bahasa juga perlu dipandang serius oleh pameran utama pentadbiran negara dan tidak semata-mata berlandaskan kepentingan politik sahaja. Jangan pula pejuang-pejuang bahasa dianggap sebagai “gunting dalam lipatan” merosakkan keharmonian negara, sebaliknya merekalah jarum dan benang yang berusaha keras menjahit semula perca-perca peradaban dan jati diri bangsa daripada terus koyak dimamah serakah peredaran masa.
Ulasan
Catat Ulasan